KEGANASAN RUMAH TANGGA

Posted by Pusat Pembangunan Wanita On Tuesday, January 4, 2011



1)     Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?

i.      Secara sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan kecederaan fizikal.

ii.     Mencederakan mangsa secara fizikal.

iii.   Memaksa atau mengancam melakukan perbuatan berbentuk seksual atau selainnya yang mana mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya.

iv.    Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.

v.     Khianat atau merosakkan harta dengan niat akan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa

2)    Siapakah mangsa keganasan rumah tangga?

· Isteri / bekas isteri
· Suami / bekas suami
· Anak-anak
· Ibu bapa
· Ahli keluarga yang tinggal serumah

3)    Apakah yang dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga?

i.    Penderaan fizikal
ii.    Penderaan mental
iii.   Penderaan emosi
iv.   Penderaan seksual
v.    Penderaan spiritual

4)    Bagaimanakah keganasan rumah tangga boleh berlaku?       
  
Keganasan rumah tangga berlaku melalui beberapa tahap dan 
peringkat iaitu:

i.              Tahap 1 : Peningkatan tekanan

Bermula dengan perselisihan yang kecil dan isteri akan cuba menenangkan Si suami dengan pelbagai tindakan. Si Isteri lebih banyak mengalah menyebabkan Si suami akan menjadi dominan.
 

ii.              Tahap 2: Permulaan insiden keganasan

Di peringkat ini, keganasan berlaku secara mendadak disebabkan Si suami tidak dapat mengawal kemarahannnya. Si isteri pula, tidak akan melawan, sebaliknya memendam rasa dan menangis. Keadaaan ini akan menyebabkan Si isteri mengalami tekanan psikologi yang keterlaluan.

iii.             Tahap 3: Penyesalan 

Pihak mangsa akan merasa sedih dan takut akan ditinggalkan pasangan. Suami berjanji akan berubah sikap, memohon maaf dan menunjukkan kasih sayang dan kemesraan yang luar biasa. Keadaan ini akan memberikan keyakinan kepada Si isteri bahawa Si suami akan berubah.



5)     Adakah perselisihan faham boleh membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga?

Terpulang kepada pasangan suami isteri mengendalikan emosi mereka. Jika pasangan itu dapat berkomunikasi secara positif dan menyelesaikan perselisahan itu dengan baik, dan pasangan akan mengakui dan menginsafi kesalahan yang di buat, ia tidak akan membawa kepada keganasan rumah tangga. Walaubagaimanapun jika pasangan itu tidak dapat mengawal emosi mereka, kemungkinan pertengkaran dan pergaduhan akan berlaku. Kesan yang lebih teruk akan berlakunya keganasan fizikal, mental dan emosi atau seksual.

6)    Mengapa keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Keganasan rumah tangga berlaku kerana beberapa sebab:

i. Tiada keharmonian dan persefahaman dalam rumah tangga.


ii. Personaliti suami atau isteri.
 

iii. Latar belakang keluarga.


iv Kesan penagihan dadah, alkohol atau judi.


v. Masalah ekonomi.


vi. Faktor terlalu cemburu terhadap pasangan.


vi. Masalah mental.


vii. Latar belakang masyarakat dan budaya.


viii. Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam 

      rumah tangga.

ix. Wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga.


x. Kurangnya didikan agama.

7)    Bagaimanakah untuk mengelakkan daripada berlakunya keganasan rumah tangga?

i. Menjalani kehidupan yang harmoni dan memupuk kasih sayang
   dalam keluarga.

ii. Pasangan perlu menerima kekuatan dan kekurangan pasangan

   mereka dan sama memperbaikinya.

iii. Pasangan perlu sentiasa berbincang tentang masalah yang

   dihadapi dan mencari penyelesaian secara harmoni.

iv. Pasangan perlu tahu dan menunaikan tanggungjawab mereka.

v. Pasangan mengetahui hak-hak mereka dari sudut agama dan 

   perundangan.

vi. Berpegang teguh pada agama.
 

8)    Mengapa keganasan rumah tangga mesti dibendung?

Keganasan rumah tangga mesti dibendung kerana ia meninggalkan kesan negatif dalam institusi kekeluargaan.

i. Si mangsa akan mengalami tekanan fizikal, mental dan spiritual.

   Sentiasa berada dalam satu situasi yang tidak selamat. Jika ia 
   dibiarkan ia akan menjadi trauma untuk kesan jangka panjang.

ii. Akan menimbulkan kesan negatif kepada pertumbuhan atau

  perkembangan anak-anak. Kemungkinan si anak akan mengulangi 
  apa yang dipelajari dari ibu bapanya apabila mereka besar 
  kelak. Mereka pula berpotensi untuk menjadi pendera.

iii. Jika ia berterusan jalan akhirnya akan berlakunya penceraian.   

    Penceraian tidak menguntungkan semua pihak. Pihak yang paling 
    rugi sekali ialah anak-anak. Anak-anak akan mengalami tekanan
    emosi dan mental akibat penceraian ibu bapa mereka. 

iv. Anak-anak mangsa penceraian ini akan mengalami konflik identiti 

    dan jika mereka tersalah haluan akan terlibat dengan kes-kes 
    juvana seperti gangsterism, vandalism, penagihan dadah dan 
    lain-lain masalah sosial. 

v. Si ibu pula akan menjadi ibu tunggal. Terpaksa memainkan peranan

    sebagai ketua rumah.

9)    Siapakah yang paling mudah terjebak kepada keganasan rumah tangga?

i. Pasangan yang berkahwin dalam usia yang muda.

ii. Pasangan yang berpersonaliti negatif

    ( panas baran, kuat berleter dll).


iii. Pasangan yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah 
    tangga.

iv. Penagih, pemabuk dan kaki judi.


v. Pasangan yang mengalami sakit mental.


vi. Pasangan yang kuat cemburu.
 

vii. Pasangan yang diganggu oleh orang ketiga.


viii.Pasangan yang menghadapi masalah ekonomi.

10)  Apakah yang perlu dilakukan sekiranya anda adalah mangsa keganasan rumah tangga?

Jika keganasan rumah tangga di tahap tidak serius

i. Mengenalpasti punca berlakunya keganasan rumah tangga.


ii. Cuba berbincang dengan pasangan anda agar tidak berlaku lagi.


iii.Dapatkan bantuan orang ke tiga di kalangan kedua-dua keluarga 

    anda.

iv. Hubungi JPW ( unit Kaunseling ) atau PPWN untuk mendapatkan

     khidmat nasihat. 

Jika keganasan di tahap serius:
 

i. Pastikan anda mendapat rawatan doktor jika berlaku kecederaan. 

   Pergi ke OSCC ( Pusat Khidmat Bersepadu )

ii. Laporkan kepada pihak polis.

iii. Laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk 

    mendapatkan Perintah Perlindungan Interim ( IPO ) atau 
    Perintah Perlindungan (PO).

iv. Jika anda telah membuat keputusan untuk bercerai, failkan 
    penceraian anda di mahkamah.

11)  Bolehkah perkara ini ditangani sendiri tanpa bantuan pihak ketiga?

Boleh. Jika pasangan bersedia berbincang secara baik untuk menyelesaikan segala masalah yang timbul. 
Pada masa yang sama, pasangan dapat menerima kekuatan dan kelemahan pasangan dan memberi sokongan antara satu sama lain. 


Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa perkahwinan bukan sahaja bersatunya dua hati tetapi penyatuan cara hidup, budaya dan lain-lain. Kembali kepada agama dan memainkan peranan serta tanggungjawab sebagai suami isteri merupakan satu pendekatan yang terbaik.

12)  Siapakah yang boleh membantu apabila anda mengalami keganasan Rumah tangga?

i. Diri sendiri 

ii. Ahli Keluarga


iii. Jiran tetangga


iv. Ahli sukarelawan dan NGO


v. Pihak Polis


vi. Hospital


vii. Jabatan Kebajikan Masyarakat


viii. Jabatan Agama Islam atau Badan Pendamai


ix. Untuk mendapatkan khidmat nasihat hubungi Unit Kaunseling JPW

    atau PPWN ( Rumah Nur )



13)  Bagaimanakah cara untuk mendapatkan bantuan?

i. Ingin mendapatkan khidmat nasihat : 

Menelefon atau membuat temujanji dengan kaunselor-kaunselor dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (JPW, PPWN, JKM, JAIS dan sukarelawan-sukarelawan NGO )
 

ii. Ingin membuat aduan:

· Lapor segera kepada pihak polis yang berdekatan.


· Jika terdapat kecederaan, pergi ke Pusat Khidmat Sepadu( OSCC )


· Ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan IPO dan tempat perlindungan jika perlu.

14)  Mengapakah wanita atau mangsa keganasan rumah tangga sering berdiam diri (membisu ) atau lambat bertindak apabila didera?

i. Wanita tidak mempunyai kesedaran tentang hak mereka sebagai
   isteri dalam aspek agama dan undang-undang.

ii. Perasaan takut kerana akan hilang tempat bergantung. 

iii. Perasaan malu untuk membuat aduan tentang kepincangan   

     keluarga sendiri.

v. Memikirkan tentang anak-anak. 


vi. Termakan pujuk rayu dan janji manis si suami.


Pertubuhan Pembangunan Wanita

Posted by Pusat Pembangunan Wanita On Sunday, November 7, 2010


Pusat Pembangunan Wanita (PPW) dihasratkan penubuhannya pada tahun 1995. HELWA di bawah kepimpinan Prof. Dr. Rahmah Hashim telah menerima sebidang tanah di Kg Melayu Ampang yang diwakafkan oleh Allahyarham Tuan Haji Othman Omar, pengasas Ana Edar Sdn. Bhd dan juga Penerima Anugerah Abdul Rahman Auf sempena Sambutan 30 tahun Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Pada tahun 2004, rumah PPW telah dibina di atas tanah wakaf tersebut. Pada sesi pimpinan ABIM 2005/2009, PPW telah dikenali sebagai Family Exellent Development Centre (FEDEC). Namun demikian, FEDEC ditukar kembali kepada Pusat Pembangunan Wanita. Atas sebab teknikal penubuhan. Pusat Pembangunan Wanita ditukarkan kepada Pertubuhan Pembangunan Wanita yang juga didaftarkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan bangunan yang beroperasi di Ampang dikenali  sebagai Bayt Al-Rahmah. 

Tujuan penubuhan PPW :

                           i.      Membangunkan serta menjayakan program-program kependidikan dan pembangunan kekeluargaan Islam

                         ii.      Menangani isu dan permasalahan sosial dalam kekeluargaan Islam

                        iii.      Pusat rujukan umum dalam permasalahan semasa kekeluargaan Islam

                       iv.      Membina jaringan kerjasama yang erat dengan NGO-NGO yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan.

Projek PPW : 

  i.        e-klinik syariah

ii.        Khidmat Guaman 

iii.      Program Kependidikan & Pembangunan

iv.      Pusat Krisis Bersepadu (OSCC)

 v.      Khidmat Kaunseling

 


Pusat Pembangunan Wanita

Posted by Pusat Pembangunan Wanita On Monday, September 27, 2010

Pusat Pembangunan Wanita (PPW) dicadangkan penubuhannya pada tahun 1997, di Tanah Lot 134, Q.T. (M) 1525, Kg. Melayu Ampang, Selangor yang mempunyai keluasan sebanyak 5,400 kaki persegi. Berdasarkan keluasan tanah, pembinaan sebuah banglo 2 1/2 tingkat yang merangkumi ruangan pejabat, dewan latihan, bilik kaunseling, bilik khidmat guaman, bilik mesyuarat, surau dan bilik penginapan. Pusat ini beroperasi berkonsepkan Pusat Aduan Krisis atau 'One Stop Crisis Centre (OSCC)'.

Di pusat ini, perkhidmatan talian aduan, khidmat kaunseling dan khidmat guaman yang berkait dengan isu-isu wanita, remaja dan kekeluargaan. Pusat ini berperanan sebagai medan rujukan masyarakat setempat dan sekitar Lembah Klang dalam menangani isu-isu berkaitan wanita, remaja dan kekeluargaan.

Idea pembinaan pusat ini adalah bertujuan memenuhi keperluan semasa dan tuntutan masyarakat agar sebagai pertubuhan Islam turut menyediakan talian aduan dan Rumah Perlindungan Sementara sebagai salah satu alternatif  kepada wanita Islam yang bermasalah mendapatkan perlindungan daripada rumah perlindungan yang dikendalikan oleh organisasi Islam. Kekurangan pusat perlindungan yang dikendalikan oleh organisasi Islam lantaran kekurangan dana dan kepakaran menyebabkan ramai  wanita Islam yang bermasalah terpaksa membuat pengaduan dan mendapatkan perlindungan sementara di pusat-pusat perlindungan bukan Islam.


Peningkatan kes-kes penceraian, keganasan rumahtangga, sumbang mahram, buang bayi dan masalah sosial di kalangan remaja, menuntut agar Pusat Pembangunan Wanita ini ditubuhkan serta dipercepatkan operasinya bagi memberi perkhidmatan-perkhidmatan talian khidmat kaunseling untuk remaja dan wanita, talian khidmat guaman yang berkait dengan undang-undang kekeluargaan Islam dan khidmat kumpulan sokongan bagi golongan ibu tunggal, mangsa rogol, saudara baru Islam dan pesakit HIV/AIDS.