Pusat Pembangunan Wanita

Posted by Pusat Pembangunan Wanita On Monday, September 27, 2010
Pusat Pembangunan Wanita (PPW) dicadangkan penubuhannya pada tahun 1997, di Tanah Lot 134, Q.T. (M) 1525, Kg. Melayu Ampang, Selangor yang mempunyai keluasan sebanyak 5,400 kaki persegi. Berdasarkan keluasan tanah, pembinaan sebuah banglo 2 1/2 tingkat yang merangkumi ruangan pejabat, dewan latihan, bilik kaunseling, bilik khidmat guaman, bilik mesyuarat, surau dan bilik penginapan. Pusat ini beroperasi berkonsepkan Pusat Aduan Krisis atau 'One Stop Crisis Centre (OSCC)'.

Di pusat ini, perkhidmatan talian aduan, khidmat kaunseling dan khidmat guaman yang berkait dengan isu-isu wanita, remaja dan kekeluargaan. Pusat ini berperanan sebagai medan rujukan masyarakat setempat dan sekitar Lembah Klang dalam menangani isu-isu berkaitan wanita, remaja dan kekeluargaan.

Idea pembinaan pusat ini adalah bertujuan memenuhi keperluan semasa dan tuntutan masyarakat agar sebagai pertubuhan Islam turut menyediakan talian aduan dan Rumah Perlindungan Sementara sebagai salah satu alternatif  kepada wanita Islam yang bermasalah mendapatkan perlindungan daripada rumah perlindungan yang dikendalikan oleh organisasi Islam. Kekurangan pusat perlindungan yang dikendalikan oleh organisasi Islam lantaran kekurangan dana dan kepakaran menyebabkan ramai  wanita Islam yang bermasalah terpaksa membuat pengaduan dan mendapatkan perlindungan sementara di pusat-pusat perlindungan bukan Islam.


Peningkatan kes-kes penceraian, keganasan rumahtangga, sumbang mahram, buang bayi dan masalah sosial di kalangan remaja, menuntut agar Pusat Pembangunan Wanita ini ditubuhkan serta dipercepatkan operasinya bagi memberi perkhidmatan-perkhidmatan talian khidmat kaunseling untuk remaja dan wanita, talian khidmat guaman yang berkait dengan undang-undang kekeluargaan Islam dan khidmat kumpulan sokongan bagi golongan ibu tunggal, mangsa rogol, saudara baru Islam dan pesakit HIV/AIDS.